PETALING JAYA – Bajet 2016 akan mesra rakyat dan lebih besar berbanding sebelum ini dalam usaha membantu kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana menghadapi inflasi dan peningkatan kos sara hidup, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut langkah-langkah yang mungkin dirangkum dalam bajet yang akan dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Okt ini.
Chua bercakap dalam sidang media selepas pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) antara Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MPKM) dan Segi University, di sini, hari ini.
Ditanya sama ada bajet turut merangkumi insentif untuk menggalakkan perumahan mampu milik, beliau berkata ia adalah langkah berterusan memandangkan rancangan membina lebih banyak rumah mampu milik merupakan sebahagian manifesto Barisan Nasional.
“Kementerian akan terus meneliti bagaimana dapat membantu atau menggalakkan perumahan mampu milik kerana kami sedar permintaan untuk perumahan jenis itu adalah tinggi.
“Bagaimanapun semua perlu diimbangi berdasarkan (keadaan) fiskal kita,” katanya.
Chua berkata kerajaan menetapkan sasaran defisit fiskal tahun ini pada 3.2 peratus dan berharap untuk mengurangkan kadar kepada 0.6 peratus menjelang 2020.
Berhubung rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang baharu sahaja dimuktamadkan, Chua mengulangi kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed bahawa perjanjian itu akan dibentang di Parlimen untuk dibahas apabila teks perjanjian lengkap dan rasmi siap serta untuk tatapan awam bagi melindungi kepentingan negara.
Mengenai langkah UMW Toyota menaikkan harga kenderaan Toyota dan Lexus antara empat dan 16 peratus bermula Januari tahun depan disebabkan kejatuhan ringgit, Chua menyifatkannya sebagai kesan jangka pendek, namun mengakui kesan pertukaran asing terhadap sesetengah barangan import tidak dapat dielak.
Katanya kadar pertukaran asing akan kembali normal dan ketidaktentuan lain pula stabil selepas Rizab Persekutuan AS mengumumkan keputusan kadar faedahnya.
Beliau turut berkata harga sesetengah kereta turun susulan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada April lalu.
Sementara itu, Presiden MPKM Adnan Md Zain berkata pemeteraian MoA MPKM dan Segi University bagi membolehkan penawaran program sarjana dalam perancangan kewangan. – BERNAMA