BAPA mangsa culik di Kajang, Lee Kim Wen tampil membuat penjelasan bagi membersihkan nama pemandu teksi, Hanizan Mohamad Radzi yang membawa pulang anaknya dalam keadaan selamat dalam kejadian yang berlaku baru-baru ini.
Menerusi notis di sebuah akhbar harian tempatan, Lee menyatakan kepercayaannya bahawa Hanizan langsung tidak terlibat dengan kes penculikan anaknya, Lee Zhi Yang, 5, yang diculik di hadapan sebuah tadika di Sungai Chua, 9 Oktober lalu.
Lee dan keluarganya dalam notis itu juga menyatakan kekesalan kerana bantuan yang diberikan Hanizan telah disalah anggap dan berharap penjelasan yang dipaparkan dapat mengembalikan keadilan kepada Hanizan dan keluarganya.
Polis sebelum ini telah menahan empat suspek berhubung kejadian itu termasuk Hanizan namun pemandu teksi itu dibebaskan selepas polis berpuas hati dengan keterangan diberikan bahawa dia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan suspek dan kejadian culik berkenaan.
Insiden penculikan itu menjadi viral setelah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu dipaparkan di laman sosial. – MYNEWSHUB.CC
[youtube http://www.youtube.com/watch?v=ATRvlfDr3AE&w=560&h=315]