BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Alias Abdullah, 51, mati ditembak di rumah kediamannya di Kampung Alor Limbat, Marang, selepas pulang dari solat Jumaat, petang tadi.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Abd Rahman turut mengesahkan berita tersebut.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat ditembak di kepala dalam jarak dekat di bahagian dapur rumahnya.
Sumber lain pula memberitahu, beliau kemudian telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu yang kemudiannya mengesahkan Alias telah pun meninggal dunia.
Sementara itu, bekas ADUN Pengkalan Berangan, Yahya Khatib Mohamad berkata, isteri mangsa memberitahu kepadanya, mangsa ditembak oleh dua lelaki yang menaiki motosikal Yamaha 125Z.
“Mengikut apa yang dimaklumkan oleh isteri Allahyarham, tidak lama selepas pulang dari solat Jumaat, ada individu mengetuk pintu rumah dan arwah membuka pintu sebelum ditembak.
“Tembakan daripada jarak dekat itu dikatakan terkena pada kepala sebelum arwah rebah,” katanya kepada Harian Metro.
Allahyarham dipilih sebagai ADUN Alor Limbat sejak 2004 hingga 2008 adalah seorang peguam yang memiliki firma guaman Alias Abdullah & Co.
Beliau yang juga lepasan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pernah berkhidmat sebagai Ketua Pendakwaraya Terengganu sebelum terlibat aktif dengan politik.
Alias juga pernah menjadi Setiausaha UMNO Bahagian Marang dari tahun 2004 hingga 2008. – MYNEWSHUB.CC