KUALA LUMPUR – Gerakan anti-kerajaan, BERSIH 2.0 `bersumpah’ akan meneruskan usaha untuk menumbangkan kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengerusinya, Maria Chin berkata, BERSIH 2.0 tidak akan berhenti daripada mendesak orang ramai supaya menuntut Perdana Menteri meletakkan jawatan.
“BERSIH 2.0 tidak akan berhenti daripada mendesak orang ramai supaya menuntut wakil-wakil mereka di Parlimen untuk menyatakan rasa tidak percaya mereka terhadap Najib.
“BERSIH 2.0 berharap kempen kami akan memulakan riak-riak yang bakal bertukar menjadi gelombang,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Maria Chin berkata, kempen itu antara lain akan dijalankan secara dalam talian dan kempen poskad khas yang akan dihantar kepada setiap Ahli Parlimen.
“Ahli Parlimen mesti menyokong usul undi tidak percaya atau apa sahaja usul yang bermaksud serupa bagi menggugat Najib,” tegasnya lagi.
Usaha BERSIH 2.0 untuk menumbangkan kerajaan yang mentadbir negara ini melalui demonstrasi jalanan pada Ogos lalu tidak kesampaian berikutan gagal mendapat sambutan orang ramai.
Lebih malang, demonstrasi itu sekadar menimbulkan suasana tegang dalam hubungan kaum Melayu dan Cina kerana peserta demonstrasi berketurunan Cina berarak sambil penyapu seperti yang berlaku dalam tragedi berdarah 13 Mei 1969.
Peserta demonstrasi haram itu turut mengadakan upacara kematian untuk dua pemimpin Melayu yang menerajui dua parti Melayu terbesar di Malaysia iaitu UMNO dan PAS.
Dua pemimpin tersebut adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - MYNEWSHUB.CC