KATHMANDU – Naib Pengerusi Parti Komunis Unified Marxis-Lenin (CPN-UML Nepal), Bidhya Devi Bhandari dipilih sebagai Presiden wanita pertama Nepal.
Pemilihan Bhandari, 54, itu dilihat sebagai peristiwa penting dalam sejarah politik di Nepal dan beliau pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Pertahanan dari tahun 2009 hingga 2011.
Sebagai Presiden, beliau berjanji untuk menaikkan hak-hak wanita agar suara mereka dapat didengar.
Awal bulan ini, Parlimen Nepal memilih Perdana Menteri baru, KP Sharma Oli yang juga sekutu rapat Bhandari dari parti yang sama.
Beliau telah lama menjadi aktivis politik dalam masyarakat yang di dominasi lelaki dan semasa era pra-demokrasi, dia bekerja secara rahsia dan kemudian mendapat tempat ke Parlimen selepas suaminya yang juga ahli politik, terbunuh dalam satu kemalangan.
Ada pihak yang mempersoalkan kelayakannya tetapi dia banyak membantu memastikan kuota satu pertiga untuk wanita di Parlimen dapat dicapai.
Sebagai Presiden, Bhandari juga adalah komander tertinggi angkatan tentera.
Bhandari menggantikan Ram Baran Yadav, yang menjadi presiden pertama negara itu pada tahun 2008 selepas Nepal memansuhkan sistem monarki. – Agensi