JOHOR BAHARU – Seorang buruh binaan warga China maut selepas digilis lori yang dinaikinya di tapak projek pembinaan di Tanjung Kupang, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Noor Hashim Mohamad berkata kejadian berlaku pada 12.15 tengah hari dan menyebabkan buruh lelaki itu, Chen Zaichao, 56, meninggal dunia di tempat kejadian.
“Chen bersama 10 hingga 15 rakan lain difahamkan menumpang lori seberat 10 tan itu untuk pulang ke asrama mereka yang terletak kira-kira 1.5 kilometer.
“Selepas menurunkan penumpang, pemandu lori yang berumur 28 tahun itu terdengar bunyi di bahagian belakang sebelah kiri dan apabila memeriksanya mendapati Chen telah digilis kenderaan itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Noor Hashim berkata Chen dipercayai turun dari lori itu dari sebelah kiri manakala rakannya yang lain turun dari kanan sehingga tidak disedari pemandu berkenaan.
Beliau berkata mayatnya dihantar ke Hospital Kulai untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA