KUALA LUMPUR – DAP cuba memutar-belit isu penyertaan orang Melayu dalam perhimpunan haram Bersih 4 yang menyusahkan ramai pihak pada akhir Ogos lalu.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa, seramai 40 peratus peserta himpunan jalanan bagi menentang kerajaan itu kononnya terdiri daripada kaum Melayu.
“Sebenarnya 40 peratus Melayu menyertai perhimpunan Bersih 4,” dakwanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Beliau membuat dakwaan itu gara-gara tidak berpuas hati dengan pengakuan parti Gerakan dan MCA bahawa perhimpunan Bersih 4 yang menjadi punca isu perkauman waktu ini.
Media sebelum ini melaporkan, Bersih 4 yang didalangi DAP, PKR dan badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak kebebasan melampau termasuk Gay dan Lesbian tidak mendapat sambutan kaum Melayu.
Majoriti peserta Bersih 4 yang terdiri daripada kaum Cina itu turut mengadakan perhimpunan upacara keagamaan orang mati untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Berikutan itu, ratusan ribu orang Melayu bangkit mengadakan perhimpunan aman di ibu negara pada bulan lalu bagi menunjukkan sokongan ke atas pemimpin-pemimpin Melayu dalam negara.
Kit Siang bagaimanapun mendakwa, perhimpunan Melayu `baju merah’ tersebut yang berunsur perkauman dan merosakkan negara. – MYNEWSHUB.CC