KUALA LUMPUR – DAP akan hanya menyokong Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) jika ia bukan sahaja memberi kelebihan kepada orang Melayu, tetapi kepada rakyat secara umum.
Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Zairil Khir Johari berkata, DAP hanya akan menyokongnya jika perjanjian tersebut akan membawa kemaslahatan dan kelebihan kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Sekiranya TPPA berjaya menurunkan kos sara hidup yang kian melambung, memperkukuhkan nilai matawang ringgit yang kian merudum, serta menyelamatkan ekonomi negara yang kian bercelaru ini, maka DAP tidak akan bantah.
“Sebaliknya, jika TPPA mengakibatkan kenaikan harga barang dan merumitkan lagi keadaan ekonomi rakyat kebanyakan, maka sudah pasti DAP akan menentangnya secara habis-habisan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang mempersoalkan sama ada DAP akan mempertahankan hak Bumiputera dalam konteks Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA).
Ibrahim berkata, DAP tidak pernah menyebut tentang kepentingan Bumiputera dalam TTPA yang dikritik hebat parti itu. – mynewshub.cc