KUALA LUMPUR – Hanya 1.53 peratus daripada 32,368,076 panggilan kecemasan yang diterima melalui talian 999 pada tahun 2013 benar-benar melibatkan panggilan insiden kecemasan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, senario serupa turut berlaku tahun lalu dengan hanya 2.37 peratus daripada 25,523,778 panggilan 999 diterima panggilan kecemasan.
“Sebanyak 7.62 peratus pada tahun 2013 dan 8.35 peratus pada tahun 2014 merupakan panggilan palsu manakala 75.5 peratus (2013) dan 66.9 peratus (2014) panggilan senyap,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Justeru, Noor Hisham meminta orang ramai tidak membuat panggilan palsu atau panggilan senyap kepada talian 999.
Menurutnya, perbuatan itu boleh mengancam nyawa orang lain kerana petugas lebih menumpukan masa untuk menjawab panggilan palsu dan akan menjejaskan respons untuk panggilan kecemasan yang sebenar.
Beliau turut menegaskan, penyalahgunaan panggilan kecemasan 999 boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau hukuman penjara maksimum setahun atau kedua-duanya,” katanya. - MYNEWSHUB.CC