KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan menghadiri Forum Pertahanan Xiangshan Keenam di Beijing mulai Jumaat hingga Ahad ini.
Seorang jurucakap Kementerian Pertahanan berkata Hishammuddin, yang juga Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM), dijadual menyampaikan ucapan pada forum tersebut pada Jumaat ini.
“Beliau akan turut menyampaikan ucaptama pada sesi pleno pertama mengenai ‘Trend Pertahanan Asia-Pasifik: Peluang dan Cabaran’ pada forum itu,” kata jurucakap itu kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata menteri pertahanan dari 16 negara dijangka menghadiri forum dwitahunan itu, antaranya dari Malaysia, Kemboja, Filipina dan Indonesia.
Forum, anjuran Persatuan Sains Ketenteraan China, yang dilancarkan pada 2006 itu merupakan platform untuk membincangkan kerjasama pertahanan di rantau Asia-Pasifik. – BERNAMA