DALAM menyoal perkara ini, penulis blog terkenal, Raja Petra Kamarudin tertanya-tanya jika bekas Perdana Menteri merasakan bahawa SOSMA terlalu jinak berbanding akta yang telah dimansuhkan iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau akta yang sama dilaksanakan di Amerika Syarikat iaitu Akta Patriot.
Atau bantahan itu disebabkan dua ‘ejen’ beliau iaitu Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang telah diambil tindakan?
Raja Petra, yang pernah menjadi sekutu kuat kepada bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagaimanapun menyatakan Dr. Mahathir kini mula bimbang sejak dua ‘ejennya’ hilang kebebasan dan dua menteri Kabinet, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, hilang jawatan. Ia bermakna negarawan tua itu kini malu.
“Dr. Mahathir memberi jaminan bahawa mereka akan selamat namun nampaknya tidak,” kata Raja Petra dalam blognya, yang turut disiarkan oleh The New Straits Times.
Pada Julai lalu, Muhyiddin telah digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri manakala Shafie pula tidak dipilih semula sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Artikel berkenaan adalah sebagai respons kepada Dr. Mahathir yang mengkritik ‘penyalahgunaan’ SOSMA, tiga hari lalu.
Menurut Raja Petra, sidang media yang diadakan itu sama seperti ketika pembangkang membantah penggunaan ISA ke atas penyokong Anwar pada 1998 dan 2001.
Raja Petra sebelum itu menyatakan SOSMA ‘sangat jinak’ berbanding ISA dan Akta Patriot malah ia tidak tertakluk kepada penyeksaan untuk mendapatkan pengakuan sebaliknya dibenarkan untuk perbicaraan. – MYNEWSHUB.CC