SEORANG ibu dipenjara gara-gara cuai dan leka melihat laman sosial Facebook sehingga menyebabkan anaknya mati lemas dalam tasik berhampiran kediaman mereka di East Yorkshire, Britain, Mac tahun lalu.
Claire Barnett, 31, dijatuhkan hukuman terbabit berhubung kesalahan membiarkan anaknya bermain di kawasan halaman rumah tanpa pemerhatian orang dewasa sehingga menyebabkan kematian Joshua, 2.
Ketika kejadian, Claire difahamkan sedang berada di dalam rumah, leka melayari laman Facebook menerusi telefon pintar miliknya.
Claire dikritik kerana gagal melaksanakan tugasnya sebagai ibu dengan baik sehingga berlaku tragedi yang sepatutnya boleh dielakkan sekiranya dia tidak leka dengan gajet.
Sebelum ini juga, Claire dilaporkan pernah membiarkan mendiang anaknya bermain di jalan raya tanpa pengawasan orang dewasa sehingga menyebabkan jirannya terpaksa menghubungi pekerja sosial berikutan Joshua hampir dilanggar kereta pada ketika itu.
Claire mengaku bersalah di atas pertuduhan tersebut, walau bagaimanapun, laporan media antarabangsa tidak mendedahkan berapa tahun wanita terbabit terpaksa meringkuk di penjara gara-gara kecuaiannya itu. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: JULIANA JOHAR
A Mindful Guide To Parenting