ALOR SETAR – Imigresen Kedah menahan 14 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Myanmar dalam ‘Ops Sapu’ di Kampung Jabi, Pokok Sena awal pagi tadi.
Pengarah Imigresen Kedah Mohamad Yusri Hashim berkata 11 lelaki dan tiga wanita berumur 19 hingga 54 tahun itu ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen dalam operasi yang bermula 2.30 pagi.
“Kesemua mereka bekerja sebagai pekebun sayur di kampung itu sejak empat hingga sembilan bulan lepas dengan bayaran RM35 sehari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semua PATI itu ditahan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik. – BERNAMA