KUCHING – Sebanyak 27 warga Indonesia serta masing-masing satu warga China dan Bangladesh ditahan dalam operasi bersama Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam dua serbuan sekitar sini semalam.
Menurut kenyataan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Sarawak, dalam serbuan pertama di sebuah tapak pembinaan di Jalan Sultan Tengah, daripada 47 pendatang yang diperiksa 14 didapati melakukan pelbagai kesalahan berkaitan imigresen.
Menurutnya enam daripada mereka didapati bekerja tanpa permit sah, enam lagi melakukan kesalahan tinggal lebih lama dari tempoh dibenarkan dan dua lagi gagal mengemukakan dokumen perjalanan mahupun pengenalan diri yang sah untuk berada di Malaysia.
Sementara itu dalam serbuan di sebuah tapak pembinaan di Batu Kawa pula, daripada 21 pendatang yang diperiksa, 13 warga Indonesia dan masing-masing satu warga China dan Bangladesh ditahan.
Sembilan daripada warga Indonesia itu dan seorang warga China didapati bekerja tanpa permit sah manakala empat lagi warga Indonesia didapati tinggal lebih tempoh yang dibenarkan, dan seorang warga Bangladesh gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah untuk berada negara ini.
Menurut kenyataan itu, kesemua pendatang berkenaan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Semuja, Serian, untuk siasatan. – BERNAMA