KUALA LUMPUR – Interaksi masyarakat pelbagai agama di negara ini harus diperkasakan bagi membendung tindakan, fahaman dan budaya yang bersifat radikal serta ekstremis.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata dalam konteks hubungan antara penganut agama, Malaysia dilihat berhadapan dengan pelbagai ancaman agenda kelompok berfikiran sempit dan radikal.
“Kelompok ini tidak pernah mahu mengenali, memahami apatah lagi menghormati kepercayaan, tradisi, nilai dan budaya lain serta Perlembagaan Negara,” katanya pada perasmian Dialog antara Penganut Agama: Panduan Agama dalam Menangani Alam Sekitar di Pusat Islam di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha, yang kemudiannya merasmikan dialog berkenaan.
Beliau berkata, sehubungan itu interaksi antara agama perlu menjadi kerangka penting dalam mengurus hubungan masyarakat majmuk bagi membendung penularan fahaman-fahaman negatif.
Mengenai sesi dialog itu, Jamil Khir berkata, ia merupakan platform penting dalam usaha mencari jalan penyelesaian terbaik kepada pelbagai masalah berkaitan alam sekitar.
“Tujuan dialog adalah supaya penganut setiap agama memahami tanggungjawab yang perlu dimainkan dalam mengatasi cabaran untuk memastikan sumber asas kehidupan seperti air dan udara bersih, hutan dan biodiversiti dapat kita lestarikan ke masa depan,” katanya.
Dialog berkenaan juga memberi peluang untuk semua pihak memahami tanggungjawab terhadap alam sekitar mengikut perspektif agama masing-masing.
Panel dialog terdiri daripada Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Azizan Baharuddin; Timbalan Presiden Malaysia Hindu Sangam, V. Kandasamy; Naib Pengerusi International Network of Engaged Buddhists, S.Vidyananda KV dan wakil dari Dignity for Children, Elisha Satvinder Singh. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]Z9W2F-GW73w[/wpdevart_youtube]