ALKISAH asalnya ia seperti sebuah rancangan maha karya apabila bekas Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dengan penuh yakin mengisytiharkan 16 September 2008 kerajaan Barisan Nasional (BN) bakal ‘tumbang’.
Ia bukan melalui proses demokratik pilihan raya umum (PRU) ke-12 pada 8 Mac 2008 yang menyaksikan BN buat julung kali hilang majoriti dua pertiga di Parlimen tetapi masih ada lagi majoriti mudah untuk bentuk kerajaan.
Malangnya, BN kecundang kerajaan negeri di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor selain gagal tawan balik Kelantan daripada PAS sejak 1990 yang dianggap seumpama tsunami terburuk kepada parti pemerintah tersebut.
Gembira kepalang ketika itu menyaksikan Anwar dengan nada optimis mendakwa Tun Abdullah Ahmad Badawi hanya jadi perdana menteri sehingga 16 September 2008 sebelum menyerahkan jawatannya itu kepada beliau.
Kononnya 30 ahli Parlimen BN akan ‘khianat’ lompat menyertai pembangkang (waktu itu belum wujud lagi Pakatan Rakyat) sekali gus kerajaan akan beralih arah buat kali pertama selepas Malaysia merdeka pada 1957.
Ketika itu BN hanya ada 140 kerusi; kurang 58 kerusi yang dimenanginya dalam PRU ke-11 pada 2004 manakala pembangkang mencipta kejutan dengan 82 kerusi, bertambah 62 kerusi berbanding pilihan raya sebelum itu.
Malangnya ia tidak menjadi realiti malah sebenarnya dakwaan Anwar itu cuma perang saraf ‘gempar’ bagi beri tekanan kepada Abdullah kononnya 30 wakil BN sanggup berpaling tadah yang akhirnya terbukti palsu sahaja.
Anehnya ramai rakyat Malaysia boleh percaya cerita ‘lawak’ itu dan apabila gagal menjadi perdana menteri pada 16 September 2008, baharulah macam-macam alasan diberi Anwar untuk meyakinkan penyokong tegar mereka.
Realitinya untuk menjayakan agenda itu, tidak ramai tahu ada pelbagai kisah di sebaliknya termasuk antaranya tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman sebagai ‘umpan’.
Ia terbongkar apabila Anifah membuka cerita tersebut ketika sidang akhbar pada 16 Mei 2009 bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) waktu itu, Hillary Clinton semasa melakukan lawatan kerja ke negara tersebut.
Marah atau mungkin juga berasa malu dengan dakwaan itu, Anwar seperti biasa akan saman mana-mana pihak yang cuba memburuk-burukkan reputasi beliau termasuk tuntutan saman fitnah RM100 juta terhadap Anifah.
Beliau selaku plaintif memfailkan saman pada 27 Mei 2009 kerana mendakwa Anifah yang dinamakan sebagai pihak defendan dalam sidang akhbar itu menyatakan pernah menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Anifah dilaporkan media AS telah diberi ‘umpan’ melompat parti oleh Anwar selepas PRU pada 2008 serta ada pengaruh amat besar untuk menarik ramai lagi wakil BN dari Sabah dan Sarawak menyertai pembangkang.
Akhirnya pada 29 Oktober 2015, Anwar gagal dalam tuntutan itu malah ditolak Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah S. Hassan Badjenid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas berpendapat kes gagal dibuktikan.
Bagi yang faham maksud tersirat penghakiman itu, ia bermakna memang benar ada rancangan konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan BN pada 2008 melalui cara kotor antaranya tawaran jawatan tertentu dalam pentadbiran.
Mujur Anifah segera dedah isu itu menerusi platform antarabangsa dan syabas beliau kerana sanggup tanggung risiko waima disaman Anwar daripada gadai maruah hanya kerana mengejar pangkat. – Mynewshub.cc/HAA