KUALA LUMPUR – Operasi di tiga lapangan terbang yang sebelum ini ditutup ekoran jerebu kini dibuka semula, menurut Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dalam laman Twitternya, hari ini.
Lapangan terbang terbabit ialah Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di Alor Setar dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang yang ditutup sementara setelah jarak ketampakan rendah akibat jerebu tebal.
Sementara itu, jurucakap MAHB Ahmad Shahreen Ramli berkata operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) berjalan seperti biasa dan tiada sebarang penutupan dibuat.
“Saya menasihatkan penumpang supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan maklumat jadual penerbangan terkini dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi Bernama. – BERNAMA