SEMPENA pesta Halloween yang diraikan setiap tahun pada hujung bulan Oktober, memang ramai selebriti di Hollywood tampil dengan pelbagai gaya dan kreativiti dalam memilih kostum mereka.
Pelbagai karakter dan gaya serta kostum yang menarik malah kreatif didedahkan oleh bintang-bintang terkenal di sana.
Walau bagaimanapun, kostum epik dan kelakar pada tahun ini rasanya layak diberikan pengacara dan bintang komedi terkenal, Ellen Degeneres!
Ellen yang sudah mengacara rancangan temubual sendirinya, Ellen Degeneres Show sejak tahun 2003 itu telah tampil dalam episod terbaharu sempena pesta itu sebagai salah seorang adik-beradik popular Kardashians.
Pengacara berusia 57 tahun yang ternyata memiliki sifat kelakar semula jadi itu telah mencuit hati penontonnya selepas memperkenalkan dirinya sebagai Karla Kardashian menerusi klip promo terbaru siri Keeping Up With The Kardashians.
Kostum epik itu seakan-akan cuba ‘perli’ penampilan adik-beradik sensasi tersebut yang memang diketahui suka sangat mendedahkan tubuh badan mereka yang seksi dan mantap itu.
“Saya pasti anda semua tertanya-tanya siapa saya dan jika anda tidak tahu, pasti anda belum lihat iklan terbaharu siri Keeping Up With The Kardashians.”
“Ya, saya adalah adik Kardashian yang kurang dikenali, nama saya Karla Kardashian dengan ejaan yang bermula dengan huruf K sebab kami terkenal dengan huruf K berganda dalam nama kami,” katanya.
Aksi lucu Ellen tersebut sememangnya menarik perhatian penonton yang ketawa tidak terhingga. Lihat telatah dan gelagatnya itu di dalam video di bawah ini. – Agensi/MYNEWSHUB.CC