SINGAPURA – Sebuah teksi yang dalam perjalanan keluar dari sebuah estet perumahan di Yishun, utara republik pulau kecil ini, dilaporkan tersendat akibat tersangkut di kawasan laluan tangga pada malam Isnin.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan, mereka dimaklumkan tentang kejadian di Blok 730, Yishun Street 71 itu pada pukul 8.20 malam, lapor stesen penyiaran tempatan, Channel NewsAsia.
Seorang saksi, Rudy Koh, yang menghubungi talian hotline agensi berita MediaCorp dan menghantar gambar-gambar insiden itu, berkata, tiada hadangan antara tempat letak kereta dengan laluan menuju ke tangga itu.
Pemandu teksi malang warga emas tersebut dikatakan sempat memberitahu orang ramai yang lalu-lalang di situ bahawa dia pada asalnya menyangka ia hanya adalah satu laluan kecil jalan yang lurus.
“Dia cuba memandu kereta Hyundai itu dengan perlahan-perlahan, tetapi apabila teksinya menjunam menuju ke bawah, dia terkejut dan menarik brek, namun ia sudah terlambat,” kata Koh.
Baca: Pemandu Teksi Singapura Gaji Cecah RM15,000 Sebulan
“Teksi itu didapati tersendat dan kemudian tergantung di atas anak tangga berkenaan. Pemandu teksi juga malah tidak dapat pula mengundur kereta itu ke belakang,” kata saksi tersebut lagi.
Pihak SCDF bergegas menghantar sebuah ambulans ke tempat kejadian, tetapi mendapati tiada orang yang terperangkap dalam kenderaan itu. Seorang lelaki berusia 60-an tahun juga enggan dibawa ke hospital.
Syarikat teksi berkenaan, Comfort Delgro Corporation yang ditubuhkan sejak 1970 dan memiliki jumlah teksi terbanyak di Singapura iaitu 12,700 buah; setakat ini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.
Republik itu terkenal di peringkat antarabangsa memiliki sistem teksi antara paling cekap di dunia dengan lebih 28,000 buah teksi yang diuruskan lima buah syarikat serta hampir 99,000 orang pemandu berdaftar.
MediaCorp difahamkan bahawa teksi itu hanya membawa seorang penumpang ke kawasan estet perumahan tersebut sebelum berlakunya kejadian yang tidak diduga berkenaan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
ÂÂ
ÂÂ