Bekas wartawan BBC yang ditemui tergantung di dalam tandas di lapangan terbang Ataturk,Turki, pernah mengalami tekanan selepas ditangkap kerana disyaki sebagai perisik di Afrika.
Mayat Jacky Sutton ditemui selepas mendiang terlepas pernerbangan ke Erbil di Iraq.
Dia dikatakan semakin tertekan selepas kakitangan penerbangan memintanya membeli tiket yang baru dan selepas itu mayatnya ditemui di dalam tandas oleh tiga penumpang Rusia dalam keadaan tergantung, kerana membunuh diri.
Wanita berusia 50 tahun itu memegang beberapa jawatan dengan pertubuhan kemanusiaan dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) serta penerbit di BBC.
Sutton tiba di Istanbul dengan penerbangan Turki pada 10 malam Sabtu lalu dari London dan dijadualkan terbang ke Erbil pada waktu tengah malam, namun telah terlepas penerbangan itu.
Bagaimanapun rakan wartawan dari Iraq, Mazin Elias yang pernah bekerja dengan Sutton berkata, adalah mustahil wanita itu membunuh diri sebaliknya mendakwa dia dibunuh.
“Dia menghabiskan hidupnya untuk membangunkan kebebasan di Iraq dan cuba menjadi lebih baik dengan menyambung pelajaran PhD.
“Adakah orang yang mahu mencari kehidupan lebih baik akan membunuh diri. Tidak, seseorang telah membunuhnya,’’ kata Mazin.