NEW DELHI – Walaupun Deepavali akan disambut dua minggu lagi, namun kemeriahaan perayaan itu sudah makin terasa di ibu negara India ini, dengan kompleks beli-belah dan bazar dibanjiri pengunjung daripada segenap lapisan kehidupan.
Keadaan ini sebahagian besarnya berpunca daripada keselesaan hidup yang dinikmati orang ramai hasil daripada pertumbuhan ekonomi sebanyak 7.5 peratus yang dicatat negara ini sejak beberapa tahun lepas.
Langkah Reserve Bank of India (RBI) menurunkan kadar faedah merupakan satu lagi faktor yang menyebabkan orang ramai selesa berbelanda, termasuk membeli kenderaan dan hartanah.
Deepavali atau ‘Diwali’ akan disambut di India pada 11 Nov, manakala di Malaysia dan negara lain pada 10 Nov.
Berikutan kebanjiran orang ramai, pihak berkuasa di sini terpaksa menutup beberapa jalan utama menuju ke pusat beli-belah popular seperti Sadar Bazaar, Sarojini Market dan Lajpat Nagar.
Polis Delhi juga memperketatkan kawalan bagi mencegah serangan pengganas pada musim perayaan ini.- BERNAMA