KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah RM100 juta yang difailkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Bhd. (Utusan Melayu) dan empat defendan lain berhubung isu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah berkemungkinan diselesaikan secara baik melalui proses mediasi.
Peguam Shahid Adli Kamarudin, yang mewakili Anwar selaku plaintif, memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas kes disebut di dalam kamar hari ini di hadapan Hakim Datuk Noraini Abdul Rahman.
Turut hadir peguam Choo Shi Jin yang mewakili Utusan Melayu dan peguam G. Navinthar mewakili TV3.
Shahid Adli berkata kedua-dua pihak (plaintif dan defendan) memohon supaya kes itu diselesaikan secara baik dan 5 Nov ini ditetapkan untuk proses mediasi (rundingan) berkenaan.
Selain Utusan Melayu selaku defendan pertama, Anwar yang memfailkan saman itu pada 8 Mac 2013, turut menamakan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak sebagai defendan kedua.
Bekas ketua pembangkang itu turut menamakan TV3; Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen dan Radio, Media Prima Bhd., Datuk Shaharudin Abd Latif; dan Pengarang Berita Buletin Utama, Ing Boon Seng sebagai defendan ketiga dan kelima.
Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar mendakwa Utusan Malaysia bertarikh 2 Mac 2013 menyiarkan artikel di muka hadapannya bertajuk ‘Ketua Pembangkang dikaitkan dengan pencerobohan?’ dan artikel di muka surat sembilan bertajuk ‘Tiga kumpulan jadi dalang’.
Bekas anggota Parlimen Permatang Pauh itu menyatakan defendan ketiga hingga kelima, antara pukul 8 dan 9 malam, hari yang sama dalam Buletin Utama, TV3 turut menyiarkan berita mengenai pencerobohan di Lahad Datu berdasarkan laporan berita yang dikeluarkan oleh defendan pertama dan kedua. – BERNAMA