BANGI – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mempergiat usaha menjalin perkongsian pintar dan perkongsian perniagaan dengan negara ASEAN dan negara rakan ASEAN dalam bidang penerangan, telekomunikasi serta teknologi maklumat, sebagai usaha mempromosikan ASEAN.
Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad berkata usaha kementerian termasuk menerusi Jabatan Penerangan, akan bekerjasama dalam bidang pendigitalan buku dan mewujudkan ‘Internet Protocol Television’ (IPTV) bagi menawarkan siaran televisyen dalam talian.
Menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) pula, katanya pertukaran berita, penerbitan program sukan dan dokumentari, penerbitan animasi dan filem bercirikan budaya negara masing-masing akan diberi nafas baharu agar lebih interaktif serta capaian lebih luas.
Kementerian juga merancang mengadakan kerjasama strategik dengan China, yang merupakan rakan dialog ASEAN, bagi penganjuran bersama Festival Filem dan Televisyen ASEAN-China, katanya pada majlis Sambutan Hari ASEAN Ke-48 anjuran bersama Jabatan Penerangan dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Dewan Canselor Tun Abdul Razak UKM di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KKMM, Datuk Che Azemi Haron. Hadir sama, Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali.
Sharifah Zarah berkata Malaysia juga komited dalam penyediaan draf rangka Pelon Induk ICT ASEAN (2016-2020) yang dijangka dilancarkan semasa Mesyuarat Menteri-menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat ASEAN (Telmin) ke-15, November ini.
Selain menyumbang US$500,000 bagi Tabung ICT ASEAN, kementerian juga bersetuju melaksanakan dua projek iaitu ‘Roadmap To Increase Broadband Capacity in ASEAN’ fasa kedua dan ‘ASEAN Network Security Action Council‘, katanya.
“KKMM selaku Pengerusi ASEAN Committee on Culture and Information (ASEAN-COCI) diamanahkan untuk menjayakan beberapa projek berimpak tinggi, antaranya ‘ASEAN Editors Dialogue’ dan ‘Colours of ASEAN Second Series’.
“KKMM juga menyumbang secara aktif dalam penyemakan semula dokumen ASEAN Strategic Plan for Information and Media 2016-2025 yang bertindak sebagai panduan ke arah pembangunan dan kerjasama dalam sektor media dan penerangan bagi tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.
Mengenai Sambutan Hari ASEAN Ke-48 hari ini, Sharifah Zarah berkata program itu diadakan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat khususnya dalam kalangan pelajar dan belia berkenaan penubuhan ASEAN sempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.
“Cabaran kita sekarang, ramai beranggapan semangat ASEAN hanya dalam kalangan pemimpin dengan pemimpin dan bukan di peringkat rakyat dengan rakyat. Masih ramai rakyat kita tidak faham atau tahu berkaitan ASEAN.
“Adalah menjadi harapan pemimpin ASEAN supaya semua rakyat ASEAN mengambil ‘ownership’ kepada ASEAN.
“Maka, kita perlu melaksanakan program khususnya kepada golongan muda supaya mereka mempunyai sifat ‘sense of belonging’ mengenai ASEAN,” katanya.
Sambutan Hari ASEAN ke-48 bertemakan ‘Warga Kita, Komuniti Kita, Visi Kita’ juga bertujuan untuk meluaskan pengetahuan skop kerjasama dalam ASEAN dan memberi kesedaran tentang peranan masyarakat dalam menyokong usaha kerajaan memantapkan hubungan diplomatik dengan negara jiran.
Antara pengisian sambutan kali ini termasuk pameran berkaitan ASEAN, Forum ASEAN, kuiz ASEAN dan CHALK (chat, listen & knowledge) serta edaran bahan informasi berkaitan ASEAN kepada orang ramai. – BERNAMA