PUTRAJAYA – Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa menyertai lebih 2,000 penjawat awam daripada pelbagai jabatan dan agensi di sini pada majlis Senamrobik Ceria@Hari Sukan Negara sempena sambutan Hari Sukan Negara hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Datuk Seri Zainal Rahim Seman dan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Noorul Ainur Mohd Nur.
Acara yang berlangsung di pekarangan Kompleks C di sini bermula 9 pagi dengan aktiviti senam seni dan demonstrasi karate. Ini diikuti dengan senamrobik dan demonstrasi silat serta zumba dan demonstrasi lompat tali.
Pada detik 10.10 pagi, Ali melakukan gimik perasmian dengan melakukan aksi Muay Thai bersama Mohamad Zabidi.
Jabatan Perkhidmatan Awam dalam kenyataannya mengenai program berkenaan berkata Senamrobik Ceria dapat memupuk dan menyemarakkan semangat perpaduan, menggalakkan pembangunan ekonomi negara melalui industri sukan dan meningkatkan pengetahuan sukan penjawat awam. – BERNAMA