MELAKA – Kutipan zakat di Melaka yang dilakukan Pusat Zakat Melaka (PZM) meningkat kepada RM47.1 juta atau 15.47 peratus dari Januari hingga September, berbanding RM40.79 juta dalam tempoh sama tahun lepas.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata dalam tempoh tersebut, bilangan pembayar zakat juga meningkat kepada 574,287 orang berbanding 562,778 pembayar tahun lepas.
Beliau berkata zakat pendapatan mencatatkan kutipan tertinggi iaitu RM23.67 juta berbanding RM19.16 juta dalam tempoh sama tahun lepas.
“Kutipan zakat perniagaan juga meningkat kepada RM9.12 juta berbanding tempoh sama tahun lepas yang hanya berjumlah RM8.11 juta tahun lepas.
“Bilangan pembayar zakat perniagaan turut meningkat kepada 888 agensi tahun ini berbanding 834 agensi tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat perniagaan lima agensi korporat sebanyak RM 520,496.78 di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Pertubuhan Peladang Kebangsaan membayar zakat sebanyak RM314,950.89; SME Bank (RM77,632); Bank Simpanan Nasional (RM67,685.89); Koperasi Tentera (RM40,228); dan Nadira Shoppe Sdn. Bhd. (RM20,000).
Idris berkata kutipan zakat fitrah dalam tempoh sama tahun ini adalah sebanyak RM3.62 juta berbanding RM3.5 juta tahun lepas, melibatkan 541,062 pembayar tahun ini berbanding 532,660 tahun lepas.
Beliau berkata zakat emas perak turut mencatatkan peningkatan iaitu 16.18 peratus kepada RM435,272.38 berbanding RM374,651.79 dalam tempoh sama tahun lepas.
“Kutipan zakat terendah adalah zakat pertanian dengan jumlah RM55,261 tahun ini,” katanya.
Idris berkata pihaknya yakin dapat mencapai sasaran kutipan zakat sebanyak RM65 juta menjelang akhir tahun ini. – BERNAMA