NAMA penyanyi Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin, 33, bukanlah asing dalam industri seni hiburan.
Namun, sayangnya sejak kebelakangan ini penyanyi yang popular menerusi Hi Hi Bye Bye dilihat sepi seketika daripada muncul dalam mana-mana saluran media elektornik mahupun media cetak.
Bercerita mengenai kehilangannya, Ezlynn menjelaskan sepanjang tempoh itu dia banyak memberi fokus kepada rumah tangga dalam usaha mendapatkan cahaya mata.
“Saya tidak merajuk atau hilang dari industri tetapi sejak kebelakangan ini lebih memberikan fokus kepada keluarga selain cuba mendapatkan cahaya mata.
“Bagaimanapun saya masih aktif dalam bidang seni cuma tidak terlalu kehadapan.
“Saya tidak tertekan pun kerana itu semua rezeki daripada Allah namun sebagai manusia saya dan suami tidak pernah berhenti berusaha.
“Keluarga juga memahami dan tidak pernah membangkitkan soal berkenaan dan Insya-Allah jika ada rezeki pasti ada,” katanya kepada mStar Online.
Ezlynn telah mendirikan rumah tangga dengan pengurus peribadinya, Adam Fahmy Shamsudin, 36, pada 20 November 2011 dan masih belum dikurniakan cahaya mata.
Dalam perkembangan lain, Ezlynn bakal menyertai program Gegar Vaganza musim kedua yang bakal bersiaran bermula 18 Oktober ini menerusi saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).
Selain Ezlynn, 11 peserta lagi yang turut bertanding adalah Nassier Wahab, Azian Mazwan Sapuan, Faradhiya, Amir (Ukays) Siti Nordiana, Acong (Sweet Child), Sheeda, Nizam (Laksamana), Haiza, Zul (Handy Black) dan Ezad Lazim. – MYNEWSHUB.CC