KUALA LUMPUR – Lebih 2,000 peserta berbasikal dalam acara ‘Ride for Peace’ di sini hari ini yang memeriahkan kawasan sekitar ibu kota seawal enam pagi lagi bagi menggalakkan semangat perpaduan dan cintakan keamanan.
Pengarah Urusan The Body Shop Malaysia selaku penganjur, Datin Mina Cheah-Foong berkata program berbasikal sejauh tujuh kilometer ini diadakan sejajar dengan sambutan Hari Keamanan Antarabangsa yang jatuh pada 21 Sept lepas.
“Melalui program ini, ia dapat mempromosikan keharmonian antara semua kaum di samping mengeratkan hubungan kekeluargaan dan masyarakat walaupun mereka tidak mengenali antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Program ini anjuran bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di bawah program, ‘KL Car Free Morning’, iaitu pagi tanpa kenderaan yang diadakan dua kali sebulan iaitu pada Ahad minggu pertama dan ketiga setiap bulan.
Acara pelepasan peserta disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana KL Car Free Morning, Datuk Naim Mohamad.
Bukan sahaja berbasikal, sebahagian peserta turut dilihat beriadah menggunakan kasut roda dan papan luncur, selain bersiar-siar mengelilingi kawasan sekitar bandar raya menaiki kereta kuda. – BERNAMA