GEORGE TOWN – Seorang lelaki hari ini menyerahkan satu bom lama kepada polis setelah menyimpannya sejak dua bulan lepas.
Bom yang dipercayai jenis mortar itu dihantar lelaki berkenaan ke Balai Polis Air Itam, di sini pada pukul 2 petang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatarash Wahid ketika mengesahkan kejadian berkenaan berkata lelaki berusia 30-an dan bekerja sebagai buruh itu mendakwa menemui bom tersebut di kawasan Air Itam dua bulan lepas dan menyimpannya.
“Bagaimanapun bimbang ia meletup dan atas nasihat beberapa rakannya yang memberitahu bahawa menjadi kesalahan menyimpan bom tanpa kebenaran, dia mengambil keputusan menyerahkannya kepada polis,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati bom berwarna kuning dan kelabu itu telah berkarat dan dipercayai ia diguna ketika latihan melibatkan anggota keselamatan.
“Bom yang tiada suis peletup atau punat itu dipercayai tidak aktif dan Unit Pemusnah Bom meletupkannya di kawasan lapang di Bukit Gambir di sini,” katanya. – BERNAMA