NASSAU – Semasa berada di Pulau Blue Lagoon di Bahamas, sebuah negara kepulauan kecil di rantau Carribean, telefon bimbit milik seorang pelancong asing wanita, Teressa Cee tiba-tiba terjatuh ke dalam Lautan Atlantik.
Mujur, telefon bimbitnya tersebut akhirnya berjaya dikembalikan kepada si pemiliknya itu tidak lama kemudian bukan oleh manusia, tetapi oleh seekor ikan lumba-lumba! Ya, diulangi semula: ‘ikan lumba-lumba’.
Dalam kejadian unik itu, Cee pada mulanya meminta bantuan seorang lelaki untuk memegang dan menjaga telefon bimbitnya, sementara beliau pergi berenang dalam laut bersama dengan seekor ikan lumba-lumba.
Malangnya, telefon bimbit yang dipegang lelaki itu terjatuh ke dalam laut secara tidak sengaja. Asalnya, wanita muda tersebut hanya pasrah apabila menyangka telefon bimbitnya itu tidak mungkin dapat dikembalikan.
Namun, tanpa disangka, seekor ikan lumba-lumba bernama Cacique berjaya mencari telefon bimbitnya yang hilang itu dan mengembalikannya kepada lelaki tersebut, menurut laporan akhbar The Independent baru-baru ini.
“Cacique, seekor ikan lumba-lumba, mendapatkan kembali telefon bimbit saya dan mengembalikannya. Comel sekali!” kata Cee, seorang penari sorak bagi pasukan bola keranjang Miami Heat, di Florida, Amerika Syarikat.
Dalam tulisannya menerusi laman sosial Facebook, dia turut memuat naik video aksi comel ikan lumba-lumba itu mengembalikan telefon bimbitnya serta gambar dirinya bersama-sama dengan Cacique di laman Instagram.
Berdasarkan rakaman seorang rakannya, Cacique kelihatan muncul dari dasar laut yang mungkin tidak dalam dan menghulurkan telefon itu di muncung mulutnya kepada lelaki tersebut di pelantar pulau peranginan berkenaan.
Ini menyebabkan Cee menjerit kegembiraan. Video berdurasi selama 12 saat tersebut dilaporkan sudah pun ditonton lebih 2.7 juta kali dan dikongsi hampir 24,000 kali menerusi Facebook. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA