KOTA KINABALU – Seorang suspek dalam kes pencerobohan Lahad Datu tahu panggilan telefonnya dipantau oleh pihak berkuasa, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.
Seorang pegawai pemprosesan pintasan komunikasi yang memberi keterangan sebagai saksi terlindung, berkata suspek, Salib Ahmad Emali memberitahu seorang lelaki tidak dikenali yang digelar ‘Lelaki Sabah’, dalam perbualan telefon itu supaya berhati-hati.
“Salib memberitahu Lelaki Sabah supaya berhati-hati dan mereka tidak boleh bercakap panjang disebabkan panggilan itu dipantau,” kata saksi itu menerusi jurubahasa mahkamah yang memakai fon telinga untuk mengikuti keterangan saksi berkenaan.
Saksi itu, yang diberi tanda nama SBM, memberi keterangan dalam perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan oleh kumpulan lelaki Sulu bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu, pada Februari 2013.
Perbualan dalam bahasa Suluk itu dipintas pada 8.22 malam, 22 Feb 2013.
Dalam satu lagi perbualan telefon yang dipintas pada hari sama, saksi itu berkata Salib dihubungi seorang individu dikenali sebagai ‘Raja’ yang mengarahkannya supaya bersiap sedia pada malam itu.
“Raja berkata kepada Salib: “Bila saya kata okay, kamu boleh mula di sana” sebab Raja mendapat tahu ada orang ‘yang akan masuk’,” kata saksi itu.
Dua puluh tujuh warga Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Mereka juga dituduh merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April, 2013.
Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok. – BERNAMA