IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah usaha pencegahan perlu diberi perhatian utama untuk meminimumkan dan menangani masalah berkaitan pelarian.
“Jika tidak usaha menangani isu pelarian akan berakhir seperti usaha mahu menolak ombak di pantai, semakin ditolak, semakin datang,” katanya semasa berucap pada majlis sambutan Maal Hijrah 1437 peringkat negeri di sini, hari ini.
Titah baginda pelarian merupakan produk atau natijah daripada pelbagai tragedi yang berlaku dan majoritinya berpunca daripada perbuatan tangan-tangan zalim manusia, sama ada persengketaan atau pencemaran alam.
“Menguruskan program perlindungan adalah pendekatan curative (penyembuhan). Usaha-usaha preventive (pencegahan) untuk meminimumkan kejadian pelarian lebih penting diberikan perhatian,” katanya.
Sultan Nazrin Shah, yang telah berkenan untuk menjadi Pengerusi Bersama Panel Kewangan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bertitah menangani masalah pelarian adalah tanggungjawab yang sangat besar, sangat berat dan sangat mencabar.
“Terutama untuk mengimbangi antara semangat kesejagatan yang terkandung di dalam al-Quran dengan realiti politik dunia semasa yang telah membelah bahagikan bumi Allah ini menurut garis sempadan negara bangsa.
“Mengimbangkan semangat kesejagatan tanpa mencetuskan tentangan dan konflik kepada negara bangsa adalah tugas yang amat rumit. Tugas yang memerlukan pendekatan berhikmah, supaya tidak akan tercetus polemik dan konflik baru,” titah baginda.
Lantaran itu, titah baginda dalam menangani situasi pelarian, semangat tinggi kemanusiaan yang dianjurkan oleh Islam dan seruan yang mewajibkan bantuan dihulurkan menurut yang terkandung di dalam al-Quran perlulah dijadikan panduan.
“Islam secara tegas meletakkan tanggungjawab kepada para pemimpin begitu juga individu Islam yang berada di dar al-Islam untuk menghulurkan bantuan kepada setiap pelarian dan hendaklah dilaksanakan berlandaskan semangat
inclusive, semangat yang mengamalkan penerimaan manusia daripada pelbagai bangsa, kaum dan kewarganegaraan selaras dengan maksud yang terkandung dalam ayat 6 Surah at-Taubah,” titah baginda.
Sulan Nazrin Shah bertitah fenomena pelarian yang jumlahnya kini bertambah besar adalah satu ujian ALLAH SWT kepada komuniti dunia, terutama sekali kepada para pemimpin Islam.
“Para amirulmukminin, para ulama, para umara, para ummah dan seluruh umat manusia, lebih-lebih lagi mereka yang memiliki kuasa dan memiliki kekayaan wajib insaf bahawa mereka sedang berhadapan dengan ujian daripada ALLAH SWT.
“Bahawa rezeki kekayaan yang dilimpahkan baik kepada individu mahupun di bumi mereka berpijak adalah anugerah daripada Ilahi; manusia hanyalah pemegang amanah kepada khazanah kurniaan Ilahi seperti yang terkandung dalam ayat 105, Surah al-Anbiyaa,” titah baginda.
Sultan Perak bertitah malangnya dimensi dan perspektif Islam yang jelas terkandung di dalam al-Quran tidak dijadikan sumber utama rujukan dalam usaha menangani isu pelarian ketika ini.
“Malah kaedah pendekatan yang dianjurkan oleh Islam telah disisihkan. Elemen keinsanan yang menjadi teras dan terbukti berperanan besar mencerminkan kemurnian Islam dalam hubungan kemanusiaan dan hubungan antarabangsa telah dipinggir,” titah baginda. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]AOncCHeLlCU[/wpdevart_youtube]