GUA MUSANG – Mayat seorang budak perempuan ditemui reput dalam Sungai Perias, kira-kira 500 meter dari Pos Tohoi pukul 7 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Saiful Bahri Abdullah berkata, mayat kanak-kanak yang kakinya tersangkut pada dahan kayu dalam sungai berkenaan dijumpai seorang penduduk kampung.
“Penduduk berkenaan kemudiannya melaporkan kejadian itu kepada pasukan pencari dan mereka mengambil masa kira-kira setengah jam bagi mengeluarkan mayat berkenaan dari sungai berkenaan.
“Ketika ditemui, mayat telahpun reput akibat terlalu lama berada dalam air dan dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui di hospital berkenaan di sini, malam ini.
Bagaimanapun, Saiful Bahri berkata, pihaknya belum dapat mengesahkan mayat itu adalah antara tujuh murid SK Tohoi yang hilang pada 23 Ogos lepas kerana proses pengecaman masih belum dilakukan.
Menurut Saiful Bahri pihaknya akan membawa anggota keluarga mangsa yang terlibat untuk membuat proses pengecaman pagi esok.
“Kita juga akan melancarkan operasi besar-besaran di sepanjang Sungai Perias di Pos Tohoi hingga ke Sungai Nenggiri dekat Pos Pulat mulai pagi esok dengan menggunakan beberapa bot bagi mengesan murid yang masih hilang itu.
“Kita masih mempunyai ramai anggota penyelamat untuk melancarkan operasi itu termasuk Senoi Praaq (Pasukan Gerakan Am suku Orang Asli) yang masih berkampung di Pos Tohoi sekarang,” katanya.
Dalam kejadian 23 Ogos lalu, tujuh murid Orang Asli iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara 7 dan 11 tahun dari SK Pos Tohoi bertindak melarikan diri dari asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka dikesan mandi di sungai tanpa kebenaran.
Tujuh murid terbabit ialah Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; Sasa Sobrie, 8; Ika Ayel, 9; Haikal Yaakob, 8; Norieen Yaakob, 10, dan Miksudiar Aluj, 11; – berasal dari Kampung Gawin dan Penad. – BERNAMA