BEKAS vokalis kumpulan Ukays, Amir yang ditahan pada awal pagi Rabu kerana memiliki sepucuk pistol telah dibebaskan dengan jaminan polis, kira-kira jam 5 petang pada hari yang sama.
BACA: GEMPAR.. Amir Ukays Ditahan Polis Kerana Miliki PistolÂÂ
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy.
R. Munusamy berkata, bagaimanapun pihak polis akan menyiapkan kertas siasatan berhubung perkara itu sebelum diserahkan kepada Peguam Negara untuk diputuskan sama ada penyanyi tersebut perlu didakwa atau sebaliknya.
Terdahulu, Amir nama sebenarnya Mohd Amir Muhammad, 44, ditahan berdekatan Kampung Chubadak, Sentul, Kuala Lumpur selepas pihak polis menjumpai sepucuk pistol berwarna hitam yang tertera tulisan ‘Walther CP99 Compact’ dengan nombor siri 12L20520 bersamanya.
Sementara itu, menerusi akhbar Berita Harian, Amir yang merupakan peserta Gegar Vaganza 2 (GV2) terbitan Astro memberitahu pistol berkenaan adalah pistol mainan anaknya yang digunakan untuk menembak cicak.
“Saya tidak tahu menjadi kesalahan jika memiliki pistol mainan. Saya juga tidak tahu perlu memiliki lesen untuk memiliki pistol mainan.
“Tidak dinafikan, pistol berkenaan menyerupai pistol, tetapi ia hanyalah pistol mainan.
“Selalunya, saya letak pistol berkenaan di rumah untuk kegunaan menembak cicak, tetapi pada tengah hari semalam, anak saya membawa turun dan tertinggal dalam kereta.
“Saya tidak sempat membawa naik semula kerana bergegas ke studio untuk latihan vokal program Gegar Vaganza 2.
“Bagaimanapun, saya kurang bernasib baik apabila ditahan sepasukan polis ketika berada dalam kereta di kawasan letak kereta di rumah selepas pulang latihan,” katanya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Di Sana Menanti, Di Sini Menunggu sudah memaafkan individu yang telah menviralkan gambar dan pistol miliknya itu. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: BH OnlineÂÂ