KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (Mosti) menjangkakan banjir bulan depan tidak seteruk tahun lepas.
Menterinya Datuk Seri Madius Tangau berkata ini kerana musim tengkujuh yang diramal berlaku bulan depan tidak seteruk berbanding tahun lepas berikutan fenomena El Nino akan mengurangkan risiko banjir teruk.
“Pada tahun ini penyelamat kita sebenarnya ialah El Nino…ekoran peningkatan kepanasan di kawasan Lautan Pasifik dan ini akan membantu menyederhanakan tengkujuh.
“Jadi kita meramalkan pada tahun ini banjir memang ada tetapi tidak lagi seteruk tahun lepas sebab adanya El Nino,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Teknologi dan Aplikasi Dalam Pengurusan Bencana (TADMIC) 2015 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Madius berkata kementeriannya sudah membuat persediaan menghadapi kemungkinan banjir pada tahun ini dengan menyalurkan input dan bantuan diperlukan kepada pihak yang bertanggungjawab.
“Kami akan memberi data-data tentang iklim dan keadaan semasa kepada pihak yang bertanggungjawab seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN) supaya persediaan awal boleh dibuat terutamanya di tempat-tempat yang berisiko tinggi seperti di Pantai Timur,” katanya.
Selain daripada menyediakan maklumat, Mosti juga akan menggunakan teknologi yang sedia ada seperti imej satelit supaya pelbagai rancangan bagi menghadapi banjir dapat dilaksanakan di peringkat awal.
“Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM) di bawah Mosti ada itu semua, imej-imej ini kita boleh sediakan dan bagi kepada APBN supaya mereka dapat bersedia lebih awal,” kata Madius.
Persidangan TADMIC menumpukan pada teknologi serta aplikasi terkini dalam pengurusan bencana alam dan teknologi yang meliputi aspek pencegahan, amaran awal, misi menyelamat dan pemulihan pasca bencana. – BERNAMA