KUALA LUMPUR – Negara anggota ASEAN digesa melakukan usaha bersepadu yang serius untuk merapatkan jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin sebagai langkah memperoleh kejayaan yang lebih besar dengan pelancaran Komuniti ASEAN menjelang akhir tahun ini.
Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata negara ASEAN juga harus memastikan rakyat mereka menikmati kemajuan ekonomi.
“Kita perlu berusaha untuk memberi pendidikan lebih baik dan peluang kepada golongan belia pada masa depan,” kata Abdullah dalam ucap tama Forum Meja Bulat Kumpulan Kajian Dasar Luar Yayasan ASEAN (EPSG) mengenai ‘Komuniti ASEAN 2015 dan ke Hadapan’ di sini hari ini.
Abdullah berkata ini adalah penting kerana ASEAN kekal sebagai pemain utama dan bersama-sama membawa negara dan kumpulan penting seperti China, Jepun, India, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Rusia dalam dialog yang membina serta penglibatan untuk keamanan dan kemajuan ekonomi yang memberi manfaat di sekitar rantau ini.
Beliau berkata dari segi jumlah perdagangan menunjukkan peningkatan enam kali ganda daripada US$430 bilion pada 1993 kepada US$2.5 trilion pada 2013.
“Perdagangan antara ASEAN meningkat tujuh kali ganda daripada US$82 bilion pada 1993 kepada US$609 bilion pada 2003. Perdagangan luar ASEAN meningkat lima kali ganda daripada US$348 bilion pada 1993 hingga US$1.9 trilion pada 2003.
“Ia akan menjadi permulaan perjalanan yang sangat menarik bagi kita semua dalam ASEAN memandangkan kita berharap untuk membawa ASEAN menjadi lebih dekat untuk kemajuan bersama yang memberi manfaat kepada rakyat ASEAN,” katanya.
Abdullah berkata ASEAN Campur 3 mewujudkan integrasi yang baik dengan China, Jepun dan Korea Selatan menjadikan 42 peratus pelaburan langsung asing (FDIs) mengalir ke ASEAN.
Beliau berkata negara anggota ASEAN menjadi sumber terbesar pelaburan iaitu 17.4 peratus.
Abdullah juga berharap perbincangan pada forum dua hari itu serta kesimpulan yang dibuat, akan diserah kepada kementerian luar ASEAN masing-masing, bagi maklum balas yang berharga.
“FPSG telah memilih topik yang sangat menarik dan meluas mengenai ASEAN dan penting terdiri daripada Komuniti ASEAN 2015, Komuniti Ekonomi dan Komuniti Sosial Budaya, Laut China Selatan, Penghijrahan Paksa dan Pemerdagangan serta Hak Asasi Manusia dan Demokrasi,” katanya. – BERNAMA