BERA – Kerajaan negeri Pahang akan melaksanakan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang berharga RM80,000 untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah di negeri ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata ia merupakan antara penambahbaikan yang dilaksanakan terhadap projek PR1MA Pahang yang sebelum ini dijual dengan harga RM150,000 setiap unit, lebih rendah hampir 50 peratus daripada harga pasaran.
“Dalam mesyuarat Exco dua bulan lepas, kerajaan negeri membuat keputusan untuk memberi fokus membina unit rumah berharga RM80,000 dan secara automatik projek perumahan PR1MA berharga RM150,000 sebelum ini akan dihentikan.
“Projek ini menyasarkan golongan yang berpendapatan isi rumah RM5,000 sebulan dan kerajaan negeri kini dalam peringkat penilaian teknikal dan perundangan terhadap cadangan yang dikemukakan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci PR1MA Pahang di perumahan Makmur Sentral Jaya Triang di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Guai yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman.
Adnan berkata antara ciri-ciri PR1MA yang berharga RM80,000 ialah jenis rumah teres setingkat, tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan keluasan 750 kaki persegi sehingga 800 kaki persegi.
Kerajaan negeri menyedari projek itu tidak memberi keuntungan tinggi kepada pemaju terlibat dan ia akan dilaksanakan mengikut skim subsidi silang di mana pemaju terlibat akan diberikan sebidang tanah untuk membangunkan projek perumahan lain atau bangunan komersial sebagai timbal balas.
Sejak 2013, katanya, kerajaan negeri meluluskan 29,839 unit rumah di 81 buah tapak PR1MA Pahang dan di Bera sendiri terdapat tujuh buah projek itu dengan 2,306 unit rumah telah diluluskan.
“Pada pilihan raya umum lepas, kerajaan negeri berjanji membina 15,000 unit rumah dalam tempoh lima tahun menerusi PR1MA Pahang, namun sehingga kini kita telah berjaya membina hampir 30,000 unit rumah sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat,” katanya.
Dalam masa yang sama, Adnan turut menyeru insitusi kewangan agar melonggarkan syarat pinjaman bagi membolehkan lebih ramai golongan berpendapatan rendah memiliki rumah.
Ini termasuk mengecualikan mereka daripada mengemukakan penyata kewangan kerana kebanyakan golongan itu bekerja sebagai petani, peniaga kecil serta bekerja sendiri dan tidak mampu memenuhi syarat itu. – BERNAMA