KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) mahu menjadi sebuah parti Islam yang berpengaruh di peringkat antarabangsa.
Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, berikutan itu pihaknya mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh gerakan Islam di serata dunia.
“Ini adalah bertujuan untuk memposisi peranannya (PAN) sebagai sebuah parti Islam di peringkat antarabangsa.
“Amanah (PAN) mahu bersama-sama dengan semua badan dan gerakan antarabangsa memperjuangkan isu keadilan dan kemanusiaan dihadapi masyarakat dunia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Baca: PAS & PAN Bergaduh, Yang Mana Lagi Layak Jadi Parti Islam
Justeru, kata Salahuddin, PAN akan terus melebarkan pengaruhnya di peringkat nasional dan antarabangsa bersesuaian dengan pendekatan Islam yang mempamerkan wajah rahmat untuk semua.
PAN ditubuhkan pada 16 September lalu oleh bekas-bekas pemimpin PAS pro-Pakatan Rakyat yang disingkirkan dalam pemilihan PAS pada Jun lalu.
Pembentukan parti PAN dikecam hebat oleh pemimpin PAS sedia ada kerana menghasut ramai penyokong PAS meninggalkan parti itu bagi menyertai PAN. – mynewshub.cc