TIADA angin, tiada ribut, di laman sosial Twitter sejak semalam kecoh khabar angin mendakwa pelakon Pekin Ibrahim telah meninggal dunia.
Bercakap kepada Berita Harian, pelakon filem Bunohan ini menafikan perkara tersebut.
Menurut Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim, 34, dia sendiri terkejut tatkala mendengar berita palsu mengenai kematiannya itu.
Malah, gara-gara berita palsu tersebut Pekin terpaksa menelefon ibunya di kampung bagi menafikan berita itu.
“Berderau darah saya apabila diberitahu mengenai hal ini. Buat pertama kalinya, saya berhadapan dengan berita palsu sebegini.
“Saya terpaksa menelefon ibu di kampung agar dia tidak terkejut dengan berita ini. Saya sendiri lemah semangat apabila diberitahu mengenai berita palsu kematian saya, ini pula ibu saya yang sudah berusia.
“Tweet mengenai berita kematian saya tersebar luas sehinggakan ada yang memuat naik gambar untuk mengucapkan takziah.
“Saya sedang cuba memaklumkan kepada rakan-rakan bahawa berita itu adalah tidak benar sama sekali,” katanya kepada BH Online.
Pada masa yang sama, Pekin akui terkilan dengan tindakan individu yang menyalah gunakan medium media sosial bagi menyebarkan perkara palsu. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=fpTCTxryLp8