TERNATE (Indonesia) – Seorang pelajar sebuah sekolah menengah di sini mati selepas dipukul gurunya dengan pembaris.
Yusri H. Muhammad, 17, maut akibat pendarahan serius di belakang kepala selepas dipukul gurunya yang dikenali sebagai Fajrin.
Kejadian dipercayai berlaku apabila Fajrin mengarahkan Yusri yang memakai pakaian sukan ke sekolah pulang dan menukar ke pakaian batik.
Fajrin kemudian bertindak menampar Yusri selepas mangsa enggan mengikuti arahannya.
Tindakan Fajrin itu menyebabkan Yusri tidak berpuas hati sehingga berlaku pertengkaran antara mereka.
Fajrin yang berang kemudian memukul belakang kepala Yusri dengan pembaris kayu sehingga menyebabkan pelajar itu pengsan.
Pukulan yang kuat itu juga menyebabkan belakang kepala mangsa cedera dan berdarah.
Yusri akhirnya disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke sebuah pusat kesihatan berhampiran.
Seorang pegawai perubatan, Muhammad Sagaf berkata, pelajar itu meninggal dunia akibat kehilangan terlalu banyak darah.
Menurut media tempatan, guru berkenaan ditahan polis di rumahnya dan mungkin berdepan tuduhan menyebabkan kematian. – Agensi