SIAPA yang tidak kenal dengan penyanyi terkenal, Adele yang popular menerusi lagu Someone Like You satu ketika dahulu.
Setelah hampir 4 tahun mendiamkan diri, kini penyanyi kelahiran Britain itu tampil dengan buah tangan baru yang dinanti-nantikan peminatnya selama ini.
Penyanyi berusia 27 tahun itu bakal menampilkan album terbaru berjudul ’25’ yang berkisarkan tentang cabaran meningkat ke usia dewasa.
Adele juga turut mendedahkan sedikit perincian tentang album yang dinanti-nantikan itu, beliau menyatakan hari jadinya yang ke-25 merupakan titik perubahan dalam kehidupannya.
Walau bagaimanapun, beliau masih belum membuat pengumuman mengenai tarikh sebenar album itu bakal dikeluarkan namun ada spekulasi menyatakan album tersebut mungkin akan dikeluarkan hujung tahun ini.
Beliau turut memohon maaf kepada semua peminatnya kerana terpaksa menunggu jangka masa yang lama, kali terakhir pelantun kepada lagu Skyfall itu mengeluarkan album adalah pada tahun 2011.
Album ’25’ ini merupakan album ketiganya semenjak dia bergelar artis dan sebelum ini Adele juga pernah menghasilkan album berjudul ’19’ dan ’21’ yang merujuk kepada usianya ketika itu.
Penghasilan album ’21’ sebelum ini memperlihatkan satu kejayaan hebat bagi penyanyi itu selepas merangkul anugerah Grammy bagi Album Terbaik pada tahun 2012, dan kekal sebagai album paling laris di Amerika Syarikat untuk dua tahun berturut-turut.
Di Britain, album yang memaparkan lagu hit seperti Rolling in The Deep dan Set Fire To The Rain itu juga menjadi album paling laris dalam abad ke-21 setakat ini.
Kini, single terbaru yang berjudul Hello yang diselitkan dalam album ’25’ itu dipercayai bakal menambat hati peminatnya semula. – Agensi/MYNEWSHUB.CC