IPOH – Sepasang suami isteri kerugian lebih RM100,000 selepas 68 kambing yang diternak mereka rentung dalam kebakaran kandang di Jalan Parit 13, Ayer Deras dekat Teluk Intan, kira-kira 100 kilometer dari sini hari ini.
Zuraida Hamid, 34, berkata kejadian itu disedari pukul 5 pagi oleh seorang penduduk kampung yang melalui kawasan berkenaan selepas melihat api yang sedang marak.
“Saya dan suami bergegas ke kandang yang terletak satu kilometer dari rumah. Kesemua kambing itu rentung dan gagal diselamatkan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Suami Zuraida, Ahmad Jamri Muhammad, 64, telah menternak kambing sejak 30 tahun lepas untuk dijual dengan harga antara RM950 dan RM1,200 seekor.
Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Aizal Amri Abdul Rahman berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 5.30 pagi tadi.
“Setibanya di tempat kejadian kandang itu telah terbakar hampir 95 peratus. Kebakaran itu menyebabkan 68 kambing rentung,” katanya.
Punca kejadian masih belum diketahui dan sedang disiasat, katanya. – BERNAMA