DUNGUN – Bagi meningkatkan tahap persediaan menghadapi banjir yang biasanya berlaku pada musim tengkujuh dijangka bermula hujung bulan ini, 100 anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Hulu Dungun menyertai kursus pengurusan banjir.
Kursus bersepadu Pengurusan Bencana Peringkat Daerah Dungun 2015 itu melibatkan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Bomba Dan Penyelamat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Penolong Pegawai Daerah Dungun (Pembangunan Masyarakat), Ahmad Bukhari Abdul Rahman berkata peserta antara lain didedahkan aspek teknik menyelamat mangsa banjir, cara mengendalikan bot dan teknik menyelamatkan diri dan mangsa banjir sekiranya bot yang dinaiki terbalik.
“Sebagai pemimpin di peringkat kampung, mereka ini sudah biasa berdepan dengan simulasi prosedur operasi standard ketika musim banjir, namun pada tahun ini mereka didedahkan dengan teknik asas menyelamat mangsa banjir,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program itu di Tasik Puteri Bukit Besi di sini Jumaat.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Dungun, St (PA) Mohd Jefri Ibrahim berkata latihan di dalam air itu adalah latihan lanjutan yang diadakan pada tahun ini untuk meningkatkan kemahiran dalam kalangan pegawai dan sukarelawan JPAM.
Tahun lepas, Dungun mencatatkan bilangan mangsa banjir kedua terbanyak selepas Kemaman. – BERNAMA