KUALA LUMPUR – Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) bersama Kesatuan-Kesatuan Sekerja Dalam Syarikat GLC memohon kerajaan mempertimbangkan cadangan memberi bayaran pencen RM750 bagi pesara syarikat GLC.
Presiden UNI-MLC, Mohamed Shafie Bp Mammal berkata, permintaan itu berikutan ada dalam kalangan pesara GLC dan masih menerima bayaran pencen serendah RM150.00 dan RM250.00 sebulan.
“Bayaran yang diterima ini tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin tinggi. Kami berpendapat jumlah bayaran pencen itu ditakrifkan hidup di bawah paras kemiskinan.
“Pesara GLC dan penswastaan disarakan dari sektor awam pada usia muda jadi mereka menerima pencen yang rendah kerana gaji akhir mereka pada ketika itu rendah berikutan perkhidmatan kurang 25 tahun,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohamed Shafie menerangkan, pekerja-pekerja GLC dan penswastaan merupakan bekas penjawat awam sebelum Dasar Penswastaan Negara dilaksanakan pada tahun 1983.
“Mereka telah memainkan peranan penting dalam pembangunan negara. Oleh itu sudah tiba masanya untuk kerajaan membantu pesara-pesara ini yang telah banyak menyumbang dalam arus pembangunan negara.
“Permintaan kenaikan bayaran pencen itu juga adalah sebagai menghargai jasa mereka yang telah menunjukkan prestasi baik selama ini,” katanya. – mynewshub.cc