KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengurangkan indeks jenayah kecurian kenderaan sebanyak 34 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lepas.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata dalam tempoh itu tahun ini, sebanyak 10,559 kes dilaporkan berbanding 15,970 kes pada tahun lepas, di seluruh negara.
“Polis memandang serius kes kecurian kenderaan yang berlaku di negara ini dan akan memastikan indeks kecurian kenderaan dapat dikurangkan dengan mengusahakan alternatif baru,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penghargaan Vehicle Theft Reduction Council of Malaysia Berhad di sini, Selasa.
Khalid berkata kenderaan yang dicuri sebelum ini, dipercayai diseludup ke Thailand dan Singapura.
Beliau berkata dua negara berkenaan dipercayai menjadi antara destinasi utama penyeludupan kenderaan tersebut. – BERNAMA