MELAKA – Puteri Diraja Thailand, Maha Chakri Sirindhorn pada Khamis melawat bandar raya ini bersama 100 orang anggota delegasi termasuk pensyarah dan pelajar.
Ketibaan baginda disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar di Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam.
Baginda dan rombongan termasuk Duta Thailand ke Malaysia, Damrong Kraikruan melawat Bangunan Stadhuys, Bukit St. Paul, Muzium Kesultanan Melayu Melaka dan tapak Porte de Santiago atau Kota A Famosa.
Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka, Datuk Khamis Abas berkata lawatan baginda bertujuan mempelajari sejarah dan sosiobudaya masyarakat setempat.
“Baginda dan anggota delegasi baginda banyak bertanya soalan berkaitan penubuhan Melaka sejak zaman Parameswara sehingga mencapai kemerdekaan,” katanya.
Baginda turut melahirkan rasa kagum mengenai pencapaian Melaka sebagai tapak warisan dunia, katanya. – BERNAMA