JOHOR BAHRU – Seorang lelaki bekas anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima rasuah bernilai RM3,000 Februari lepas.
Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz turut menetapkan Muhammad Suhaimi Abdullah, 35, dipenjara selama enam bulan sekiranya dia gagal membayar denda berkenaan.
Muhammad Suhaimi didakwa meminta suapan berkenaan daripada seorang wanita di Restoran Al Mashur Taman Yayasan, dekat Segamat, pada 2.30 petang, 12 Feb lepas.
Suapan itu sebagai dorongan kepadanya yang ketika itu bertugas sebagai anggota Rela Cawangan Segamat supaya tidak mengambil tindakan rasmi terhadap wanita itu dan pasangannya yang disyaki berkhalwat.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 162 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pada 7 Sept lepas, Muhammad Suhaimi mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu bagaimanapun pada sebutan semula kes itu hari ini, dia menukar pengakuan kepada bersalah.
Dalam rayuannya hari ini, bapa kepada tiga anak itu memohon mahkamah meringankan hukuman memandangkan dia kini tidak bekerja dan menanggung isteri serta kesemua anaknya yang masih bersekolah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Nor Fazlin Hamdan manakala Muhammad Suhaimi tidak diwakili peguam. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]fz0KXcpX5BA[/wpdevart_youtube]