KUALA TERENGGANU – Seorang pemandu lori warga tempatan hari ini dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah memberi suapan RM200 kepada seorang pegawai polis pada 22 Ogos lepas.
Hakim Murtazadi Amran turut memerintahkan Huong Kah Khing, 41, dipenjara tiga bulan lagi sekiranya tertuduh gagal membayar denda itu.
Tertuduh didakwa memberi suapan itu kepada Inspektor Mohd Hanafi Nasir yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, sebagai dorongan kepadanya untuk tidak menangkap Huong.
Huong disyaki melakukan kesalahan melindungi tiga warganegara asing iaitu Sumon Bapari dan Amir dari Bangladesh dan Kasim Alam Abul dari Myanmar kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri yang sah.
Pemandu lori berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu di dalam kebun kelapa sawit Felda Neram 1, Cheneh di sini kira-kira pukul 11 pagi kejadian semasa Operasi Pencegahan Jenayah Bersepadu dilakukan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh dan tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=nw58qkFkUKw