SEREMBAN – Remaja orang kurang upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah yang ditemui dalam keadaan kurus kering di Taman Semarak, Nilai, tahun lalu, disahkan meninggal dunia akibat sawan kira-kira 1 tengah hari Rabu.
Difahamkan dia yang kini berusia 16 tahun; sebelum itu telah dilaporkan pengsan di Rumah Kebajikan Sinar Harapan sebelum ambulans tiba dan kemudian meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke sebuah hospital.
Pada 21 Jun tahun lalu, Muhammad Firdaus ditemui dalam keadaan cukup menyedihkan di rumahnya ketika operasi pendatang asing tanpa izin dilakukan dekat rumahnya oleh pihak Jabatan Imigresen Negeri Sembilan.
Dia yang kurus kering ditemui dikurung dalam sebuah bilik yang sangat kotor dan terdapat najis di merata-rata yang sudah kering sebelum diselamatkan serta dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk rawatan.
Susulan kes tersebut, ibu Muhammad Firdaus, Lolanopita Sadi, 41 tahun; ditahan polis dan pada 17 November lalu, wanita itu dihukum penjara empat bulan selain denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban.
Dia didapati bersalah melakukan pengabaian dan meninggalkan anaknya tanpa pengawasan. Kes itu mendapat perhatian luar biasa masyarakat susulan rakaman visual dirinya waktu ditemui disiarkan secara meluas oleh media massa.
Muhammad Firdaus kemudian diletakkan di bawah penjagaan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan dan ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tengku Ampuan Najihah, Seremban.
Al-Fatihah.
– Sinar Harian Online
[wpdevart_youtube]iMfkwhEa96c[/wpdevart_youtube]