TIDAK sampai setahun setelah kunjungan pertamanya sekitar bulan Januari lalu, bintang Hollywood terkenal Paris Hilton baru-baru ini dilaporkan kembali berada di Kuala Lumpur untuk menemui para peminat di sini.
Difahamkan, bintang program realiti TV The World According To Paris ini berada Malaysia bagi menjayakan acara Festival Muzik ACV yang berlangsung di Surf Beach, Sunway Lagoon, Selangor pada Sabtu lalu.
Selain Paris, terdapat juga beberapa selebriti Malaysia yang bakal memeriahkan lagi acara tersebut antaranya pengacara terkenal, Datuk AC Mizal dan penyanyi rap, Joe Flizzow dan Sonaone.
Ini bermakna, tiga selebriti Malaysia bukan sahaja bertuah dapat berkongsi satu pentas dengan Paris, malah semestinya berpeluang berjumpa dengan sosialit terkenal ini.
Apa yang mengejutkan, selain tiga selebriti ini, rupa-rupanya pelakon dan pengacara Sarimah Ibrahim juga berkesempatan bertentang mata dan bersembang bersama Paris.
Buktinya, Sarimah ada memuat naik beberapa gambarnya di Instagram bersama selebriti antarabangsa itu.
Melihat gambar yang dikongsi, mereka kelihatan sangat mesra dan tidak kekok untuk bergambar bersama dengan pelbagai gaya dan pose. Jelas terpancar pada wajah Sarimah yang dia begitu teruja ketika itu.
Difahamkan, Sarimah berpeluang berjumpa dengan Paris untuk satu sesi interview bagi sebuah stesen televisyen. – MYNEWSHUB.CC