KUALA LUMPUR – Sekolah di seluruh Malaysia kecuali di beberapa negeri diarah tutup selama dua hari dari 5 hingga 6 Oktober 2015 akibat masalah jerebu.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, arahan itu dikecualikan bagi sekolah di Labuan, Kelantan, Sarawak dan Sabah.
“Guru dan murid (di sekolah terbabit) tidak perlu hadir ke sekolah,” katanya menerusi laman Facebook rasmi beliau hari ini.
Mahdzir turut mengumumkan, sekolah terbabit tidak perlu menggantikan sesi persekolahan akibat penutupan itu.
“PT3, STAM, SPM dan STPM 2015 akan diteruskan mengikut jadual.
“Calon-calon akan dibantu serta diberi peringatan agar sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berwajib semasa bencana jerebu,” katanya.
- MYNEWSHUB.CC